DESTINASI

Buat Tatapan Pengunjung blog 'Jom Pi Tepen', berikut adalah beberapa senarai destinasi menarik yang terdapat di daerah Larut, Matang dan Selama:

Taman Tasik Taiping
Zoo Taiping / Night Safari
Bukit Larut
Batu Hampar Burmese Pool
Taiping War Cemetery
Muzium Perak
Hutan Simpan Paya Bakau Kuala Sepetang
Hutan Eko Pelajaran
Kompleks Sejarah Matang
Bangunan Bersejarah Taiping


Blog ini juga menceritakan serba sedikit mengenai beberapa destinasi menarik di daerah Larut, Matang dan Selama sebagai informasi buat para pengunjung.


Taman Tasik Taiping

Taman Tasik Taiping  merupakan taman tasik yang tertua di Malaysia. Ia merupakan taman tasik yang pertama dibangunkan sebagai taman rekreasi di Tanah Melayu. Ia mula beroperasi pada tahun 1880 sebagai lombong bijih timah. Kerajaan telah mengiktirafnya sebagai taman awam yang terindah di Malaysia.

Selain itu, Taman Tasik Taiping sangat dikenali dengan pemandangan pokok-pokok besar yang merentasi jalan menghala ke tasik. Setiap hari tanpa mengira siang atau malam, taman tasik ini digunakan sebagai tempat beriadah, perkelahan, perkemahan, dan bersukan. Suasana pada waktu malam di taman tasik amat indah dan mempesonakan dengan hiasan lampu yang berwarna-warni.

Zoo Taiping / Night Safari

Zoo Taiping terletak di dalam kawasan semula jadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut. Juga dikenali sebagai Taman Mergastua Sultan Idris Shah. Zoo Taiping juga merupakan habitat kepada 1300 ekor binatang yang terdiri daripada 180 spesis.

Night Safari Taiping pula adalah satu produk perlancongan unik di mana haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam dipamerkan dengan menggunakan lampu-lampu khas yang seakan-akan cahaya bulan. Pengunjung dapat menghayati suasana alam semulajadi dan habitat asal hidupan liar di mana bunyi pelbagai jenis haiwan dapat didengari.



Bukit Larut

Bukit Larut (Maxwell Hill) dinamakan sempena residen British ketika itu iaitu Georgh Maxwell pada tahun 1880. Suhu pada siang hari adalah di antara 15 hingga 25 darjah Celsius dan boleh mencecah 10 darjah Celsius waktu malam. 

Perjalanan ke atas Bukit Larut mengambil masa lebih kurang 30 minit dengan melalui jalan sempit dan 72 selekoh berliku tajam di lereng bukit dengan menaiki 'land rover' yang disediakan oleh Pejabat Taman Peranginan Bukit Larut di kaki bukit.

Pengunjung dapat menikmati pemandangan dari atas Bukit Larut iaitu sekitar kawasan Taman Tasik Taiping, kawasan hijau Aulong dan Simpang serta jalan lurus sepanjang 19 km dari Taiping ke Kuala Sepetang.

Kini, terdapat bunga tulip yang menjadi tarikan kepada Bukit Larut ketika musim bunga itu berkembang antara bulan Disember hingga April. Benih bunga tulip diimport dari Belanda setiap tahun, dan disemai dalam bilik sejuk yang mempunyai suhu kurang dari 8 darjah Celsius selama 15 minggu. Ia akan berbunga selepas 2 minggu di bawa keluar dari bilik berkenaan.


Batu Hampar Burmese Pool

Burmese Pool merupakan pusat mandi manda air terjun dan juga perkelahan yang paling popular di Taiping. Ianya terletak di bersebelahan Taman Sentosa berhampiran dengan Bukit Larut.




Taiping War Cemetery

Perkuburan ini merupakan memorial para tentera kerajaan British yang terkorban sepanjang Perang Dunia Kedua berlangsung. Memorial ini menempatkan parajurit-parajurit dari Royal Malay Regiment, Gurkha, British dan tentera Australia yang terbunuh semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Taman Peringatan ini terbahagi kepada dua kawasan yang dipisahkan dengan jalan raya utama menuju ke Bukit Larut, iaitu kawasan bagi parajurit beragama Kristian dan bukan Kristian. Terdapat binaan konkrit salib besar di bahagian memorial parajurit Kristian. Di bahagian satu lagi terdapat memorial parajurit Islam dan Sikh yang kebanyakkannya berasal dari india.




Muzium Perak

Institusi Muzium tertua di negara ini telah diasaskan oleh Sir Hugh Low pada tahun 1883 yang menempatkan pelbagai koleksi spesimen zoologi, herbarium dan alat budaya masyarakat Melayu. Pembinaan bangunan muzium ini dilakukan secara berperingkat di mana fasa pertama di bina pada 1883 dan selesai pembinaannya pada 1886. Fasa seterusnya bermula pada 1889 dengan pembinaan serambi hadapan dan belakang. Pada 1900, bahagian belakang bangunan asal telah disambung untuk Balai Pameran dan pembinaan ini siap sepenuhnya pada 1903.

Kurator pertama Muzium Perak ialah Leonard Wray Jr, dengan keunikan bangunan muzium yang berunsurkan senibina Moorish ini yang juga merupakan pusat penyelidikan, pengumpulan dan pemeliharaan warisan harta kebudayaan masyarakat tempatan serta sejarah alam semulajadi.

Muzium ini ditadbir oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti mempunyai tarikan utama iaitu koleksi orang asli yang lengkap dan terbaik. Selain itu, terdapat juga peralatan-peralatan peninggalan British seperti sauh kapal, tugu peringatan, kapal terbang dan lanca.



Hutan Simpan Paya Bakau Kuala Sepetang


Hutan Paya Laut Matang terletak di dalam daerah pentadbiran Kerian, Larut Matang dan manjung. Ianya merangkumi 198 buah Hutan Simpan seluas 40,466 hektar mengunjur disepanjang Pantai Selat Melaka, bermula dari Kuala Gula di utara hingga ke Bagan Panchor di sebelah selatan. Ianya merupakan hutan paya laut terbesar di Semenanjung Malaysia. Menyedari kepentingannya dari segi ekonomi dan alam sekitar kawasan Hutan Paya Laut Matang telah digazetkan sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal semenjak awal tahun 1902 lagi. Hutan Paya Laut Matang telah dijadikan sebagai pusat penyelidikan para pelajar dan penyelidik serta boleh dijadikan sebagai aktiviti ternakan laut.



Hutan Eko Pelajaran

Hutan Eko Pelajaran yang memudahkan para pelajar dan penyelidik mempelajari serta membuat kajian mengenai spesis kehidupan pokok-pokok dalam Hutan Paya Laut. Selain itu, terdapat juga kehidupan flora dan fauna dengan pelbagai jenis tumbuhan sampingan. Hutan Pelajaran dan Penyelidikan ini ditubuhkan sejak 1950an juga terdapat sebuah pelantar jalan kaki (Boardwalk) yang di bina bagi memudahkan pengunjung masuk dan menikmati keindahan Hutan Paya Laut Matang.



Kompleks Sejarah Matang (Kota dan Rumah Ngah Ibrahim)

Kota Ngah Ibrahim, Matang merupakan kawasan dan rumah kediaman Ngah Ibrahim anak kepada Long Jaafar, orang yang mula-mula menemui dan menerokai perusahaan bijih timah di Bukit Gantang, Taiping pada pertengahan kurun ke-19. Dengan penghasilan bijih timah ini, Ngah Ibrahim telah menjadi kaya raya melebihi dari Sultan Perak sendiri. Sultan telah menganugerahkan gelaran Menteri Larut kepada Ngah Ibrahim.


Kota Ngah Ibrahim dibuat dengan kukuh adalah untuk mengelakkan ancaman-ancaman daripada kongsi-kongsi gelap seperti Ghee Hin dan Hai San yang sering bertelingkah dan juga campur tangan dari Kompeni Hindia Timur Inggeris yang ingin memonopoli perniagaan bijih timah ini. Tembok kotanya dibuat dari beberapa lapisan batu bata setinggi lebih dari 1.5 meter. Pembinaan rumah ini siap pada tahun 1858.


Rumah ini juga dijadikan tempat perbicaraan Dato Maharaja Lela dan Si Puntum yang telah membunuh JWW Birch, Residen Inggeris pertama pada 2 November 1784 di Pasir Salak. Bangunan rumah Ngah Ibrahim pernah juga dijadikan maktab perguruan pertama sebelum dipindahkan ke Maktab Perguruan Tanjung Malim, Perak. Kemudiaannya, bangunan ini dijadikan sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Matang sehingga ke akhir tahun 1970an. Akhirnya, kawasan dan bangunan rumah Ngah Ibrahim ini dijadikan Pusat dan Pejabat Kompleks Sejarah Matang oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti.



Bangunan Bersejarah Taiping
Masjid Lama Bandar Taiping


Masjid Lama Jalan Kota ini dibina pada tahun 1893 oleh keluarga Ngah Ibrahim. Masjid ini dibina bagi menggantikan bangunan asal berupa madrasah yang bestrukturkan kayu. Pengaruh seni bina Belanda telah menjadi inspirasi kepada arkitek masjid pertama yang dibina daripada batu di bandar Taiping. Selain menjadi masjid tertua di bandar Taiping, di bahagian terdapat makam-makam terawal dan bersejarah. Antara makam-makam adalah makam kerabat-kerabat Long Jaafar, isteri Ngah Ibrahim, Tokoh Ulama terkenal, dan tokoh-tokoh tempatan yang lain. Masjid ini masih digunakan sehingga ke hari ini. 


Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama.


Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah ini di bina pada tahun 1878 yang merupakan antara bangunan tertua yang terdapat di bandar Taiping. Kini, bangunan ini masih mengekalkan rekabentuk asalnya serta masih digunakan hingga ke hari ini bagi menguruskan segala pentadbiran daerah dan tanah bagi daerah Larut Matang dan Selama.


Penjara Taiping (Taiping Gaol)

Penjara Taiping di bina pada tahun 1879 yang merupakan satu badan institusi kemanusiaan yang menghukum, menahan, memasung pesalah tingkahlaku pertama di Negeri-negeri Bersekutu dan Tidak Bersekutu serta di Malaysia. Penjara ini juga dikenali sebagai Penjara Larut dan Penjara Pusat Latihan Taiping. Penjara ini ditubuhkan ekoran penentangan orang-orang Melayu terhadap Inggeris dan bertambahnya kejadian jenayah pada ketika itu.

Struktur fizikal awal penjara ini terdiri daripada pagar kayu setinggi 9 kaki dan 5 buah bangunan yang diperbuat daripada separuh batu bata dan kayu yang bersambungan antara satu sama lain. Di dalam bangunan ini terdapat sebuah hospital dan pejabat pentadbiran. Pada ketika itu juga, penjara ini hanya boleh memuatkan seramai 50 orang banduan sahaja.