SEJARAH

Bandar Taiping yang bermula sebagai sebuah pekan kecil bijih timah hingga menjadi ibu negeri pertama Perak. Kini dikenali sebagai Bandar Warisan dengan ciri-ciri sejarahnya. Taiping merupakan ibu kota bagi Daerah Larut, Matang dan Selama. Sebelum 1937, Taiping merupakan ibu negeri Perak. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh. Klian bermaksud lombong. Pauh pula bermaksud buah mangga yang bersaiz kecil.




Bandar Taiping yang hanya bermula dengan penempatan sebilangan orang Melayu telah menarik ramai orang asing ke situ kerana terjumpanya bijih timah yang banyak. Peristiwa ini berlaku berikutan terjumpanya gajah Long Jaafar yang bernama Larut, berlumuran lumpur yang mengandungi bijih timah. Bersempena nama gajah tersebut, daerah itu dinamakan Larut.




Taiping berasal dari perkataan cina iaitu 'Tai-Peng' bermaksud AMAN dan DAMAI. Tercetus dari pertelingkahan puak-puak pendatang negara China yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Larut iaitu Ghee Hin dan Hai San yang begitu ramai di Klian Pauh ketika itu. Persatuan kongsi gelap dari dua pihak itu bertelingkah kerana lombong bijih timah dan jalan air. Setelah mendapat kata sepakat untuk berdamai, Taiping telah dipilih sebagai nama baru bagi bandar di daerah Larut setelah tamatnya Perang Larut pada tahun 1874.




Dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, Taiping telah menjadi sebuah bandar utama di negeri Perak serta sebagai pusat pentadbiran British pada ketika itu. Kini, bandar Taiping dikenali sebagai salah satu bandar yang tertua di Malaysia dan bandar yang kedua besar selepas bandaraya Ipoh.